Friday, August 5, 2011

WANITA ADIL PENYELAMAT KEHIDUPAN DUNIA DAN AKHIRAT

"Sifat manusia suka pada keadilan. Benci pada kezaliman. Suka kebenaran dimenangkan, kebatilan dan kejahatan dijatuhkan. Apakah yang dimaksudkan dengan adil? Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sebagai hamba Allah, adil yang diminta oleh Allah agar manusia melakukannya ialah taat, patuh pada semua hukum-hukum Allah. Yakin kalau Allah menetapkan sesuatu itu hukumnya wajib, maka sama-samalah kita akui ianya wajib dan sedaya upaya melaksanakannya. Kalau Allah menghukumkan sesuatu itu sunat, maka kita pun kata sunat dalam mengamalkan. kalau sesuatu yang Allah tentukan haram, maka kita juga mengharamkannya dan mesti menjauhinya.

Begitu juga dalam hukum makruh dan harus. Sekiranya sesuatu hukum yang Allah tetapkan wajib tapi kita kata sunat ertinya kita telah melakukan sesuatu yang tidak adil. Lagi tidak adil dan jahat bagi seseorang yang melanggar perintah Allah dengan sengaja. Misalnya dia tahu perkara itu haram, tapi dibuatnya juga, maka ia tergolongan dalam golongan orang yang zalim dan tunggulah kehinaan dan kesengsaraan akan ditanggung di dunia lagi. Mari kita lihat apakah kita telah melakukan keadilan pada diri kita. Mula-mula mari kita renung kembali hadis Rasulullah saw yang bermaksud: Apabila seseorang wanita itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah diri dan taat akan suaminya, maka dia dipersilakan masuk syurga mengikut pintu mana yang dia suka (mengikut pilihannya).Riwayat Ahmad. Inilah syarat awal untuk wanita layak diterima jadi orang yang bahagia di akhirat.

Ertinya keempat syarat ini mesti ada pada seorang wanita untuk layak ke syurga. Tempat berkumpul segala kenikmatan milik Allah. Syurga yang mana tiada lagi kita perlukan menanggung susah dan derita. Sebelum layak masuk syurga di akhirat kita akan diuji dengan perintah suruh dan perintah larang. Perintah ini sengaja Allah turunkan untuk dinilai siapakah hamba-Nya yang benar-benar taat untuk Allah beri penghormatan di akhirat nanti. Seorang wanita yang adil ialah wanita yang sudah dapat melaksanakan sembahyang dengan sempurnanya; puasa di bulan Ramadhan; mentaati suami (yakni sanggup melayan apa jua kemahuan suami, sentiasa bermanis muka dengan suami di kala senang atau susah, mengutamakan kehendak suami lebih dari keinginan hatinya, makan-minum, berpakaian, mengatur rumahtangga, membuat sebarang keputusan dan lain-lain); menjaga maruah diri (seperti tidak membenarkan lelaki yang bukan muhram masuk ke rumah jika suami tidak ada, atau keluar rumah dengan mendedahkan aurat tanpa izin suami, berjalan seorang diri, berkelakuan yang tidak sopan yang boleh menyebabkan orang pandang benci padanya, suka menjaga tepi kain orang, beramah mesra dengan lelaki lain yang akan menyebabkan suami terpaksa menanggung malu dan menanggung dosa di akhirat dari perbuatan si isteri).

Apakah diri kita termasuk orang-orang yang mampu menjaga itu semua? Apa yang kita boleh lihat dalam masyarakat kita ialah ramai wanita yang sering menzalimi dirinya, tanpa kita sedar. Ada yang punya ilmu agama bahkan menyertai perjuangan Islam tapi masih lagi bebas keluar rumah. Pagi-pagi lagi mereka sudah berebut-rebut dengan lelaki bukan muhrim distesen bas yang kesesakan untuk ke tempat kerja. Walaupun mereka boleh tutup aurat, tetapi mampukah mereka mengawal diri agar tidak bergaul dengan lelaki teman sepejabat. Ataupun mana ada pejabat yang mengasingkan pekerja lelaki dengan perempuan? Terperangkaplah wanita-wanita yang bekerja dalam pergaulan dengan lelaki yang bukan muhrimnya, samada dalam keadaan dia suka atau dia membencinya. Ini kerana keadaan tempat kerja memaksa ia jadi begitu. Kalau dia cuba juga mengelak-elakkan diri agar jangan tidak terlibat dengan lelaki di tempat kerja, mungkin dalam perjalanan balik, masa terima gaji, masa membeli belah, sewaktu menghadiri mesyuarat pejabat menghadiri seminar atau majlis sosial yang dianjurkan oleh teman sepejabat, itu sema akan menjerat wanita untuk terpaksa bergaul juga dengan lelaki. Yang mana kalau pun pergaulan itu tidak sampai kepada perbuatan yang buruk, tapi ia tetap dilarang oleh Allah.

Bila wanita diberi tanggungjawab atau kerja yang sama taraf dengan lelaki, maka berbagai-bagai kesan yang timbul. Yang paling ketara ialah terbengkalai kerja-kerja di rumah yang sepatutnya dilaksnakan oleh wanita. Anak-anak kurang dapat perhatian dan kasih sayang, suami pun tidak punya kesempatan untuk dilayan dengan baik. Walhal fungsi dalam rumahtangga sebenarnya sudah terlalu berat untuk seorang wanita melakukannya. Sekiranya ia berada sepenuh masa di rumah, maka sudah tentu akan sibuk dengan kerja-kerja rumah yang tidak pernah habis. Orang gaji tidak mungkin dapat menyempurnakan tugas-tugas rumahtangga. Walaupun orang gaji yang mampu memasak, membersih dan mengemas rumah tapi mampukah dia mencurahkan kasih sayang, mendidik dan mengasuh akan-anak dengan ikhlas seperti seorang ibu? Dan mahukah kita agar orang gaji melayan suami kita makan dan melayan keperluan-keperluannya yang lain agar ia rasa tenteram dan bahagia bila berada di rumah? Tentu kita tidak mahu. Kerap terjadi kisah anak-anak jadi liar, terlibat dengan penagihan dadah, suami curang dengan orang gaji, atau dengan perempuan lain di luar rumah. Yang mana sebahagian dari puncanya adalah dari kesalahan isteri sendiri. Walaupun tidak dinafikan juga memang ada setengah suami yang memang tunggu peluang untuk buat jahat dengan perempuan lain tapi kalaulah suami itu mendapat perhatian istimewa, layanan yang cukup mesra, dimuliakan oleh isterinya, bukan dengan dibuat dengan secara paksa-paksakan diri tentu suami akan rasa bahagia. Dan tentunya dia tidak mencari hiburan yang lain di luar rumahtangganya.

Biasa terjadi kisah pahit dalam kehidupan sepasang suami isteri yang sama-sama menjawat jawatan penting dan punya kelulusan tinggi. Suami isteri kedua-duanya ada ijazah PHD. Si isteri yang punya kelulusan yang tinggi dan bijak pula memberi buah fikiran, maka si suami setiap kali memberi buah fikiran, maka si suami setiap kali merancang sesuatu perkara mesti menanyakan pendapat si isteri. Hatta untuk masak apa pada hari itu pun ditanya pendapat isteri. Mula-mula memang isteri seronok juga suami menghormati pandangannya. Tapi lama-kelamaan timbul rasa jemu pada sikap suaminya yang begitu. Akhirnya si isteri menuntut cerai dengan alasan dia jemu bersuamikan seorang lelaki yang tiada sifat kepimpinan dalam diri. Katanya dia berkahwin dengan lelaki itu minta dipimpin. Tapi cita-cita dan harapannya itu ternyata gagal. Oleh kerana tidak merasa dilindungi dan dipimpin serta tidak nampak wibawa atau ketokohan suami sebagai orang yang menentukan perjalanan rumahtangganya, maka wanita itu sudah tidak sanggup lagi untuk hidup dengan lelaki yang begitu. Inilah akibat kalau suami gagal memahami fitrah isterinya, fitrah seorang wanita.

Sehebat manapun seorang wanita di luar rumah, tapi fitrah hatinya, ia suka untuk dipimpin. Di pihak isteri pula dia juga bersalah kerana tidak menunjukkan rasa hormat dan mengutamakan pendapat si suami, sehingga suami jadi bimbang untuk buat keputusan sendiri. Takut isteri tak setuju. Ramai lagi wanita-wanita yang sedang dilanda kedukaan akibat dari gagalnya mereka meletakkan diri pada tempat yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. Ada wanita-wanita yang melanggar perintah Allah dengan menjual kecantikan diri, menjual suara, bakat berlakon dengan macam-macam cara yang pada hakikatnya menjual maruah diri, kononnya mereka hendak mengejar kebahagiaan hidup. Bercita-cita untuk jadi terkenal dan berjaya. Hidup penuh glamour. Tapi sejauh manakah mereka benar-benar bahagia dalam hidup dengan mengejar kemewahan dunia yang tidak tentu berjayanya? Yang berjaya menjadi pujaan maka ramailah peminat, akhirnya tersangkutlah yang istimewa. Lepas itu kahwin. Mula-mula kahwin, surat khabar bukan main cerita kisah percintaan yang macam Laila Majnun, pasangan yang ideal satu pasangan yang bahagia. Tapi belum sampai setahun sudah terdengar khabar mereka mula sudah tidak ada kesefahaman. Duduk asing-asing (sudah tiru cara orang barat), akhirnya selesai dengan perceraian. Mana dia pasangan bahagia yang dicanang-canangkan dulu? Bahagia ikut nafsu. Yang mana kalau nafsu sudah dapat dia hendak pada yang lain pula.

Isteri cantik macam mana, tapi kalau perangai tak senonoh, asyik berkepit atau berhubung dengan lelaki lain, pergi balik ditemani lelaki lain, mana suami yang tidak cemburu. Kalau pun suami tak cemburu, ertinya suami itu adalah suami yang dayus, yang sudah tidak sensitif sebagai suami. Suami dayus yang membiarkan isteri berada dalam kemaksiatan (termasuk suami isteri menyanyi di atas pentas dan ditontoni orang ramai), nerakalah tempatnya yang layak untuknya. Itulah kehinaan yang sedang Allah timpakan pada mereka yang mengejar nama, kemuliaan dan sanjungan sehingga tak segan silu lagi melanggar larangan Allah. Bahkan turut melalaikan orang lain agar lalai dengan Allah swt. Allah hukum mereka di dunia lagi, tidak diberi ketenangan pada jiwa, sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang ada, berangan-angan untuk hidup lama, ingin memiliki apa yang orang lain ada, sehingga kerana itu mereka bermati-matian sanggup kurang tidur, berletih, untuk kejar keuntungan dunia yang belum tentu hasilnya. Apa yang mereka kejar itu tidak akan ada noktahnya melainkan mati saja. Kalau matilah dalam keadaan itu, di akhirat nanti neraka yang penuh dengan kesengsaraan sedia menunggu untuk mereka. Kiranya beruntunglah wanita yang pandai meletak

kan dirinya, yakni wanita yang sanggup susah-susah diri agar dapat mentaati perintah Allah. Mereka ini akan dapat ganjaran daripada Allah sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang Islam lelaki dan orang-orang Islam perempuan, orang-orang Mukmin lelaki dan orang-orang Mukmin perempuan, lelaki yang berbakti dan perempuan yang berbakti, lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, lelaki yang khusyuk dan perempuan yang khusyuk, orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, orang-orang lelaki yang berpuasa dan orang-orang perempuan yang berpuasa, orang-orang permpuan yang menjaga kemaluannya,dan orang-orang lelaki yang ingat pada Allah dan orang-orang perempuan yang ingat pada Allah; telah Allah sediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. Surah Al Ahzab: 35 Sekian "